Searching...
Monday, May 4, 2015
6:11 AM 1

6 Sifat paling mulia Saidatina Fatimah az-Zahra, puteri bongsu Rasulullah S.A.W


Tahukah anda siapa Saidatina Fatimah? Saidatina Fatimah az-Zahra r.a. adalah puteri bongsu Rasulullah S.A.W, Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hasyim bersama isteri tercinta. Khadijah Bin Khuwailid

Beliau merupakan anak yang ke-empat Rasulullah S.A.W. yang mana dilahirkan pada penghulu hari iaitu hari Jumaat bersamaan 20 Jamadil Akhir. Saat kelahiran puteri kesayangan Rasulullah bertempatan dengan selesainya orang Quraisy membina Ka’bah. Kelahiran Saidatina Fatimah az-Zahra memberi kegembiraan kepada Rasulullah S.A.W. Baginda berkata kepada Saidatina Khadijah

 “Wahai Khadijah sesungguhnya dia (Fatimah) adalah manusia yang diberkati dan sesungguhnya Allah S.W.T memberi keturunuan darinya.”

Kegembiraan Rasulullah bertambah lagi dengan kemiripan Fatimah az-Zahra dengan baginda Rasulullah S.A.W dan direkod oleh Al-Hakim meriwayatkan daripada Anas Bin Malik r.a berkata:

“Sesungguhnya Fatimah az-Zahra adalah seorang yang sangat mirip dengan Rasulullah S.A.W. dengan memiliki kulitnya putih, bibirnya merah dan rambutnya hitam.”

Menurut Ummul Mukminin Ummu Salamah r.a :

“Fatimah az-Zahra adalah anak Rasulullah S.A.W. Dia adalah seorang yang memiliki perwatakan mirip dengan Rasulullah S.A.W.

Saidatina Fatimah az-Zahra memiliki banyak gelaran antaranya Az-Zahra, Ash-Shadiqah, Al-Batul dan Ummu Abiha. Tetapi gelaran paling dikenali ialah Az-Zahra yang mana gelaran ini diberikan oleh ayahandanya sendiri Rasulullah S.A.W. yang bermaksud bunga bagi Nabi S.A.W. kerana memiliki kulit yang putih. Diriwayatkan dari Ja’far Bin Muhammad Bin Ali r.a dari ayahnya berkata

“Saya bertanya kepada Rasulullah tentang Fatimah, “Kenapa kamu menamakannya dengan Fatimah?” Baginda menjawab. “Kerana jika dia berdiri di mihrobnya dia akan memancarkan cahaya bagi penghuni langit sebagaimana bintang menyinari penghuni bumi.”

Bersederhana 

Umum mengetahui Saidatina Fatimah Az-Zahra memiliki budi pekerti mulia kerana beruntung sejak kecil lagi diasuh dan dididik dengan akhlak mulia oleh ibubapanya Rasulullah S.A.W. dan Saidatina Khadijah bin Khuwailid. Saidatina Fatimah merupakan seorang yang sabar dan tabah menghadapi ujian hidup ini dapat dilihat semasa keperitan hidup yang dilalui yang mana mengamalkan konsep keserhanaan walaupun beliau puteri Rasulullah S.A.W. serta tidak tamak menggunakan harta Baitul Mal untuk kepentingan peribadi.

Taat Agama & Suami

Beliau juga seorang yang taat kepada agama dan suami. Beliau sentiasa menjaga maruah sebagai isteri, membantu suaminya melakukan kerja-kerja harian seperti menumbuk gandum, menguli tepung dan membakar roti serta tidak pernah ingkar suruhan suami, serta menyokong perjuangan dakwah suaminya iaiti Saidina Ali r.a.

Pemurah

Fatimah juga memiliki sifat pemurah dan bertanggungjawab serta mempunyai semangat jihad yang tinggi. Sifat pemurah Saidatina Fatimah dapat dilihat menerusi peristiwa kedatangan Salman yang kelaparan datang ke rumahnya untuk meminta makanan. Ketika itu walaupun Saidatina Fatimah juga tidak memiliki apa-apa makanan , beliau memberikan tudungnya kepada Salman agar ditukar dengan jagung milik Shamoon; seorang yahudi yang mana akhirnya memeluk Islam.

Sanggup Berkorban 

Selain itu juga, Saidatina banyak membantu Rasulullah S.A.W dalam menegakkan agama Islam. Beliau juga sama-sama berkorban untuk mengembangkan agama Islam yang dibawa oleh ayahnya dan pengalaman yang dilaluinya mengajar beliau hidup lebih tabah dan sabar. Sifat beliau yang lebih mengutamakan keperluan orang lain berbanding dengan keperluan sendiri ini harus diteladani oleh kaum Muslimat hari ini

Ibu Mithali

Hasil perkahwinan bersama Saidina Ali r.a, mereka dikurniakan enam orang anak iaitu Hassan, Husain, Muhassin, Zaynab, Ummu Khalsum dan Ruqayah. Saidatina Fatimah juga berjaya menjadi seorang ibu yang baik untuk anak-anak mereka yang mana tidak pernah membantah Saidatina Fatimah. Hasil didikan sempurna melayakkan al-Hassan, al-Hussain dipilih menjadi Saiyidan Syabab Ahli Jannah, manakala Zainab pula mengadakan majlis Pengajian Khusus untuk wanita(Ahli sastera Islam).

Sumbangan Kepada Perjuangan Islam

Kalau kita lihat banyak sumbangan Saidatina Fatimah dalam perjuangan Islam, antaranya menjadi pendorong dan motivasi kepada Rasulullah S.A.W. ketika Rasulullah S.A.W. menerima tekanan kaum Quraisy Mekah.

Selain itu, muslimah hebat ini turut membantu menyediakan makanan untuk tentera Islam yang menggali parit dalam peperangan Khandak.

Beliau menjadi seorang isteri yang solehah dengan memberi khidmat kepada suaminya Saidina Ali menyampaikan dakwah dan membuat persiapan untuk memasuki medan peperangan. Beliau juga tidak terkecuali membantu be rsama-sama dengan wanita Islam memberi rawatan kepada tentera Islam yang cedera dalam peperangan Uhud.

Begitu hebat dan mulia pengorbanan yang diberikan oleh Saidatina Fatimah dalam membantu perjuangan Islam sejak kecil sehingga kewafatannya.

Saidatina Fatimah meninggal dunia enam bulan selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. ketika beliau berusia 28 tahun dan dimakamkan oleh suami tercinta di Janat Ull baqih, Madinah. Sebelum meninggal beliau sempat meninggalkan 3 wasiat. Pertama, supaya Saidina Ali r.a berkahwin dengan Amamah bin al-Ash Bin Rabi’ yang merupakan anak saudaranya Zainab r.a.

Berkata Saidatina Fatimah,

“Sesungguhnya dia akan menjadi seorang ibu bagi anak-anakku seperti diriku dalam hal kasih sayang (yang ada padaku) dan juga kecintaan (yang ada padaku).

Kedua, membuat keranda untuknya yang berbentuk tempat tidur yang diikat dengan pelepah kurma yang menjadi pegangan dari tempat tidur (berbentuk seperti keranda), dan ia ditutupi dengan kain.
Ketiga, meminta suaminya menguburkannya di waktu malam di Baqi”.

Kehebatan Saidatina Fatimah az-Zahra harus kita contohi melalui sifat-sifat keperibadiannya yang unggul dan hebat. Sekiranya kaum muslimat samada seorang anak, isteri dan ibu dapat meniru dan meneladani sifat-sifat ini dapat kita menjalani kehidupan yang diredhai.

1 comments: