KISAH kedua yang ingin ceritakan ini juga agak pelik. Kejadian ini melibatkan seorang jemaah lelaki dari Singapura pada tahun 1989. Dua hari sebelum pulang ke tanah air, seorang jemaah lelaki ini, mengisi air zamzam ke dalam sebiji botol besar 10 liter. Apabila ditanya, jemaah ini memberitahu air zamzam itu hendak dibawa balik ke Singapura kerana ada saudara-mara dan sahabatnya yang berpesan.
“Kalau bukan sebab orang malas aku nak bawa balik air zamzam ni ke Singapura,” katanya merungut. Selepas mengisi air zamzam penuh botol besar, jemaah ini menggenggam tangkainya balik ke hotel. Sampai di hotel Jemaah ini pun letaklah botol air zamzam. Malangnya ada sesuatu mengejutkan berlaku kepada jemaah ini. Jari-jemari tangannya yang menggenggam tangkai botol itu tak boleh dibuka. Pelik sungguh! Botol berisi air zamzam itu tak boleh dilepaskan dari tangannya. Puas Jemaah ini cuba membuka tetapi tetap tergenggam kemas.
Kejadian aneh ini disaksikan oleh ramai jemaah lain. Seorang sahabat cuba membantu jemaah ini dengan menarik jari-jarinya supaya tangkai botol itu terlepas. Puas dibantu tapi tangannya tidak mahu terbuka atau terlepas dari tangkai botol. Tidak lama selepas itu ada seorang jemaah memberitahu seorang ustaz mengenai rungutan yang didengarnya dari jemaah tadi ketika sedang mengisi air zamzam ke dalam botol. Jemaah ini beritahu jemaah tadi isi air zamzam tak ikhlas. Apabila ditanya, jemaah lelaki ni mengaku dia ambil air zamzam sebab terpaksa dan merungut-rungut sebab ada orang pesan.
Berpeluh jugalah jemaah ini terlekat jarinya pada tangkai botol sebelum seorang ustaz membaca doa dan mencurah air zamzam ke atas tangannya. Selepas disapu air zamzam oleh ustaz tadi, barulah tangan jemaah ini terbuka dan berjaya ditarik dari tangkai botol. Semua jemaah berasa lega. Jemaah ini disuruh oleh ustaz tadi bersolat sunat taubat dan menyesali segala perbuatan dan kata-katanya sebentar tadi. Bagi saya, apabila kita berada di Mekah, segala perlakuan dan percakapan dan adab sopan kita kenalah jaga. Sebab itulah, sebelum ke Mekah saya selalu berpesan, persiapkanlah diri sebaik mungkin dengan ilmu agama. Jangan nanti bermacam-macam perkara pelik pula terjadi. Bagi saya segala kejadian yang berlaku ini merupakan salah satu petanda kekuasaan dan kebesaran Allah s.w.t. buat hamba-hamba-Nya yang berakal dan mahu berfikir.
0 comments:
Post a Comment