Kesian pula saya melihatnya. Saya faham sangat apa yang terpaksa dihadapi beliau. Tentunya semangat beliau berkobar-kobar ingin memenuhi 10 terakhir Ramadhan ini dengan ibadah-ibadah sunnat. Namun, apakan daya. Ia taqdir ALLAH yang seseorang itu mesti redha. Saya lalu menasihati beliau dengan beberapa nasihat yang mudah-mudahan dengan nasihat itu bisa menaikkan semula semangat beliau untuk beribadah di 10 terakhir Ramadhan walaupun dalam keadaan ‘uzur’.
Berikut adalah beberapa nasihat yang wajar diamati oleh para muslimah sekiranya didatangi haid sedangkan di dalam hati bersemangat hendak beribadah. Disenarai juga beberapa ibadah yang boleh dilakukan sebagai alternatif kepada solat, puasa dan iktikaf di masjid yang dilarang mereka melakukannya ketika haid.
1. Redha dengan ketentuan ALLAH
Mempunyai perasaan redha terhadap ketentuan ALLAH adalah sesuatu yang sangat penting ada di dalam hati seseorang mukmin. Ia menandakan keimanan seseorang terhadap qadar dan qadha ALLAH. Sifat redha akan membuatkan seseorang itu menjadi tenang dan bersangka baik dengan Tuhannya. Dan sifat redha ini adalah sifat yang mahmudah yang insyaALLAH besar pahalanya di sisi ALLAH. Bukan senang seseorang itu hendak redha. Justeru, redhalah. Ada ganjaran pahala buat orang-orang yang redha, insyaALLAH.
Redha adalah tanda kehambaan hamba kepada Tuhannya.
2. Bangun malam di 10 terakhir Ramadhan
Memang ibadah terbaik pada 10 akhir Ramadhan ialah solat-solat sunat. Namun, disebabkan oleh wanita-wanita haid/nifas tidak boleh bersolat, maka hendaklah dicari ibadah lain bagi menggantikannya supaya kelebihan beribadah pada waktu malam tersebut tidak berlalu begitu sahaja. Contoh ibadah yang boleh dilakukan ialah:
- Membaca atau mendengar ayat-ayat al-Quran tanpa memegang mushaf al-Quran.
- Mentadabbur ayat-ayat al-Quran iaitu melihat makna/terjemahan lalu menghayati maksud ayat-ayat al-Quran.
- Dzikrullah iaitu mengingati ALLAH sama ada melalui lidah, hati atau perbuatan. Banyak kalimah-kalimah dzikir yang boleh diucap dan diamati berulang-ulang kali, antaranya:
- “SubhanAllah” (Maha Suci ALLAH)
- “Alhamdulillah” (Segala Puji Bagi ALLAH)
- “Allahu Akbar” (ALLAH Maha Besar)
- “La Ilaha illa ALLAH” (Tiada Tuhan selain ALLAH)
- “SubhanAllahi wabihamdih, SubhanAllahil`Azim” (Maha suci ALLAH dengan segala pujian kepadaNYA, Maha suci ALLAH Yang Maha Agung)
- “La hawla wa la quwwata illa biLLAH” (Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan ALLAH)
- Dan lain-lain lagi.
- Memohon ampun kepada ALLAH iaitu beristighfar. Ucaplah“Astaghfirullah” (aku memohon keampunan ALLAH) berulang-ulang kali. Memohon keampunan daripada ALLAH adalah ibadah yang utama dan penting untuk dilakukan seseorang mukmin, terutamanya pada bulan Ramadhan.
- Berdoa memohon apa yang dihajatkan untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Berdoa juga adalah ibadah.
- Bersolawat ke atas Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.
- Muhasabah diri.
- Membaca buku-buku agama yang darinya boleh menambahkan ilmu, menimbulkan keinsafan dan peningkatan Iman serta makin dekat dengan ALLAH.
- Melakukan amalan-amalan sampingan lain seperti menyediakan juadah untuk bersahur dan mengejut anak-anak atau teman-teman untuk bangun sahur juga boleh dikategorikan sebagai amalan-amalan yang soleh yang bakal mendapat ganjaran ALLAH Subhanahu wa Ta`ala.
3. Ibadah-ibadah dan lain-lain amalan soleh
- Menghadiri majlis-majlis ilmu.
- Menjauhi perbuatan-perbuatan syubhah dan haram terutama yang melibatkan lidah.
- Memberi nasihat, amar ma`ruf nahi mungkar.
- Menulis di emel, blog, laman sosial dan lain-lain bentuk penulisan yang mengajak manusia kembali beragama.
- Menyediakan juadah berbuka puasa untuk ahli keluarga dan taulan yang berpuasa. InsyaALLAH, seseorang yang ikhlas memberikan makanan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka akan turut memperolehi pahala berpuasa tanpa mengurangi pahala orang berpuasa itu.
- Berinfaq.
- Membantu orang yang kesusahan.
- Menyebarluaskan salam.
- Dan banyak lagi tidak terkira.
Menurut isteri saya, memang ramai wanita yang tidak sedar akan ibadah-ibadah lain yang ada di dalam ISLAM. Mereka ingat hanya solat dan puasa sahaja ibadah. Ketidaksedaran ini membuatkan para wanita yang didatangi haid mati akal dalam mengisi masa yang berharga di dalam bulan Ramadhan. Terbuanglah peluang begitu sahaja. Malah ada yang tidur sahaja disebabkan oleh pada anggapan mereka bahawa mereka tidak boleh melakukan ibadah.
ALLAH Maha Pemurah. Banyak peluang lain yang ALLAH sediakan buat hamba-hambaNYA. Dan pahala dariNYA memang DIA sediakan buat hamba-hambaNYA yang suka mencari keredhaanNYA. Konsep ibadah ini terlalu luas. Bukankah seluruh kehidupan kita juga boleh jadi ibadah? Selamat beribadah di 10 terakhir Ramadhan. :)
ALLAHU A`LAM.
0 comments:
Post a Comment