Searching...
Friday, July 3, 2015
4:30 AM 0

Daayiee Abdullah, Imam pertama di Amerika Syarikat dengan status 'Gay' (14 FOTO)

Dia dikutuk oleh pemimpin-pemimpin Islam yang lain, dan beberapa imam menolak untuk bersalaman dengannya. Tetapi Imam Daayiee Abdullah - dipercayai imam gay pertama di Amerika Syarikat - berbangga dengan kisah hidupnya.


Dilahirkan di Detroit, Amerika Syarikat, Daayiee memeluk Islam ketika usianya 33 tahun semasa belajar di China. Beliau kemudian belajar ilmu agama Islam dengan lebih mendalam di Mesir, Jordan, dan Syria.


Sebagai seorang lelaki gay, dia melihat golongan lesbian, gay, biseksual, dan transgender orang Islam mempunyai keperluan rohani yang tidak dipenuhi dan beliau menjadi imam untuk memberikan sokongan moral.


Tugas pertama Daayiee sebagai seorang imam ialah upacara pengkebumian seorang Muslim gay yang meninggal dunia akibat AIDS.

"Mereka telah menghubungi beberapa imam, tetapi tiada siapa yang sudi untuk memberikan penghormatan terakhir kepada jenazahnya," kata Daayiee, merujuk kepada upacara pembersihan mayat dalam Islam. Situasi itu amat menyedihkan baginya.

"Saya percaya setiap orang mempunyai hak sebagai seorang Islam untuk mempunyai upacara spiritual dan ritual disediakan untuk mereka, walaupun sesudah mereka mati. Dan sesiapa yang menghakimi anda, itu semua urusan Allah, bukan saya."

"Satu perkara yang indah tentang Allah adalah apabila anda mengubah sikap anda, dan berdoa, 'Ya Allah, bantulah aku' dengan seikhlas hati dan penuh pengharapan, Allah sentiasa ada untuk anda," kata Daaiyee.


Beliau telah berkhidmat sebagai imam dan pengarah pendidikan di sebuah masjid di Washington DC selama lebih dua tahun, yang menjadi "kubu" untuk golongan LGBT mempelajari nilai-nilai dan amalan Islam dengan selamat. Masjid-masjid lain bagaimanapun tidak menerima golongan ini.

Jemaah masjid ini datang dari pelbagai etnik dan budaya, didikan agama, dan orientasi seksual.

Sejak beliau berkhidmat, wanita dan lelaki tidak mempunyai masalah untuk solat bersebelahan, malah wanita juga dibenarkan untuk memimpin solat atau menjadi imam kepada jemaah lelaki.


Tindakan ini mencetuskan kontroversi dan perbalahan walaupun dikalangan orang Islam Amerika.

Daayiee berkata, "Kita tidak menghadkan manusia dengan jantina atau orientasi seksual mereka, atau aspek tertentu mereka menjadi Islam atau bukan Islam. Mereka berada di sana untuk beribadah."

Imam Daayiee juga menyediakan perkhidmatan unik yang tidak dilakukan oleh imam lain, seperti mengahwinkan pasangan Islam sesama jenis. Sepanjang 13 tahun menjadi imam, beliau telah melakukannya lebih 50 kali.


Walau bagaimanapun, tidak semua orang senang dengan apa yang beliau lakukan.

"Kami benar-benar di luar sana membuat sesuatu dan melakukan perbezaan dalam kehidupan orang ramai."

"Sebagai seorang imam gay, saya mendapat banyak tohmahan dan maklum balas yang tidak baik, tapi tak mengapa. Saya cuma fikir manusia apabila tidak biasa dengan sesuatu situasi, mereka lebih cenderung untuk mempunyai reaksi spontan dan kadang-kadang negatif," katanya.


Tetapi Abdullah tetap teguh dengan kepercayaannya bahawa Islam tidak mempunyai sebarang kecacatan.

"Ini bukan sesuatu yang baru. Ia sama seperti pembaharuan dan pemulihan dalam Islam. Setiap 100 atau 150 tahun pasti akan ada perbincangan tentang isu ini dan terdapat juga orang-orang yang menentang status quo. Jadi ia bukanlah sesuatu yang saya sengaja reka sebagai seorang sarjana Islam moden, tetapi sesuatu yang telah wujud sejak dari dulu," katanya lagi.

Beberapa imam tempatan di AS menolak untuk bersalaman dengannya, dan lain-lain lagi berhujah kerjanya melaksanakan perkahwinan sejenis adalah haram di sisi Islam. Imam Daayiee juga disuruh untuk mengawal dirinya daripada melakukan perkara terlarang.

Muzammil Siddiqi, seorang imam yang terkenal di Persatuan Islam California Orange County.

"Sesiapa yang mempunyai kecenderungan terhadap sesuatu yang tidak boleh diterima Islam, mereka perlu mengawal diri mereka sendiri," Muzammil Siddiqi, seorang imam yang terkenal di Persatuan Islam California Orange County berkata apabila ditanya mengenai Abdullah.

"Contohnya, jika seseorang mempunyai kecenderungan untuk melakukan zina atau kecenderungan untuk minum alkohol atau keinginan yang besar untuk makan daging babi, saya akan mengatakan perkara yang sama: Kawal diri kamu sendiri."

Dr. Hussein Rashid.

"Jika anda bertanya kepada kebanyakan ulama Islam, mereka akan memberitahu anda perbuatan homoseksual merupakan satu dosa besar dalam Islam; dan tidak ada cara lain untuk menghalalkannya," kata Dr. Hussein Rashid, pensyarah agama di Universiti Hofstra dan penyumbang kepada laporan mengenai homoseksual dalam masyarakat Islam AS.

"Saya rasa apa yang kita lihat kini bukan sahaja di Amerika Syarikat, tetapi di seluruh dunia. Adalah lebih baik untuk kita kembali kepada sumber utama iaitu Al-Quran, baca dan fahami semula maksud-maksudnya. Tetapi tradisi Islam tetap mengatakan bahawa homoseksual adalah satu kesalahan besar."

"Saya rasa Daayiee cuba berkata, 'Ya, saya boleh jadi gay dan saya boleh jadi seorang Muslim, dan saya boleh cenderung kepada orang-orang yang juga gay dan Muslim,'. Agama Islam mengajar penganutmya untuk menerima semua aspek kemanusiaan. Inilah identiti mereka dan inilah yang mereka perjuangkan."

Tidak diketahui berapa ramai orang di seluruh dunia adalah gay, tetapi apa yang pasti gerakan ini semakin berkembang dan terus tersebar. Satu perkara yang boleh dianggap sangat membimbangkan bagi kita semua.


Buktinya?

Beberapa filem diterbitkan baru-baru ini telah membantu untuk memberi penerangan tentang golongan LGBT Islam dan realiti kehidupan mereka.

Yang paling terkenal, A Jihad for Love menjangkau sehingga 12 negara dalam sembilan bahasa, manakala filem I Am Gay and Muslim menjejaki beberapa lelaki gay di Maghribi untuk meneroka dengan lebih dalam mengenai identiti agama dan seksual mereka.

Di seluruh pelosok dunia juga, semakin banyak ruang baru dibangunkan untuk golongan LGBT Islam.

Wanita juga dibenarkan menjadi imam di masjid Washington DC.

Pada 2012, sebuah masjid mesra gay dibuka di Paris, Perancis - yang pertama di Eropah.

Muhsin Hendricks, seorang imam gay di Capetown, Afrika Selatan, yang mempunyai pengalaman selama bertahun-tahun dalam menyampaikan dakwah menganggap homoseksual dan Islam boleh diserasikan.

Di Amerika Syarikat pula, LGBT Islam mempunyai sokongan kuat. Dua umat Islam dalam Dewan Rakyat, Keith Ellison dan Andre Carson menyokong hak-hak gay. Kumpulan Muslims for Progressive Values, yang membantu membina masjid LGBT di Washington DC (di mana imam Daayiee berkhidmat) juga mempunyai kedudukan yang kukuh di Philadelphia dan Atlanta, dan kini semakin berkembang.

Masjid mesra gay di Paris.

Akhir sekali, imam Daayiee berharap agar mesej yang dia cuba sampaikan selama ini akan terus bergema: "Hubungan kita dengan Allah dan hubungan kita antara satu sama lain yang benar-benar menetapkan iman kita."



0 comments:

Post a Comment