Searching...
Tuesday, August 4, 2015
7:24 PM 0

Rahman Dahlan - Bila nak menuduh dia main tuduh sahaja, tetapi kita kerajaan‎ kita bertanggungjawab kalau kita jawab berdasarkan fakta


Soalan remeh-temeh mengenai kewujudan wang RM2.6 bilion ke akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diajukan hanya untuk mengaburi mata rakyat, kata BN.

Pengarah komunikasi strategiknya Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, persoalan pokok yang dibangkitkan pembangkang telah terjawab apabila ia bukan daripada rakyat atau 1MDB.

Menjawab soalan yang diajukan dalam rancangan “Dialog” di TV1 malam ini, Abdul Rahman menyifatkan soalan yang dibangkitkan, antaranya oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, bertujuan mempolitikkan isu.

‎"Apa yang diutarakan oleh beliau, saya kira akaun bank ditutup dan dibuka adalah prosedur biasa, satu fenomena biasa.

"Bila kita jawab satu persoalan paling pokok, sepatutnya Tuan Ibrahim kata, 'Alhamdulillah, duit rakyat tidak dicuri',” katanya.

Menurut beliau, pembangkang nampak sangat mahu mempolitikkan isu dan tidak minta maaf bila parti dan pemimpin pembangkang menuduh.

"Kalau you tuduh bahawa perdana menteri mencuri duit dan soalan remeh-temeh seperti tutup tidak tutup (akaun) itu, kita mungkin dalam penyiasatan nanti akan dimaklumkan.

"Tetapi kekesalan saya ialah bila satu isu pokok yang besar diselesaikan. ‎Orang seperti Tuan Ibrahim ini dia nak cari isu yang remeh-temeh hanya untuk mengaburi mata rakyat selepas mereka dah kantoi dan terbukti berbohong dengan tuduhan maha besar," katanya.

Ditanya sama ada wang tersebut digunakan untuk pilihan raya umum ke-13, beliau berkata, Najib mengatakan duit tersebut banyak digunakan untuk aktiviti sosial dan politik dalam parti.

"Kita pun faham tentang batas undang-undang akta pilihan raya dan sebagainya. Tapi pada pandangan saya jika ada derma datang kepada parti politik ianya tidak menjurus kepada pilihan raya.

"Parti politik ini ada program sepanjang tahun, apatah lagi sebuah parti yang besar seperti Umno. (Sebanyak) 191 bahagian tidak ada satu inci pun dalam Malaysia ini tiada kehadiran Umno kecuali Sarawak," jelas beliau.

Tegas beliau, Umno sebagai parti matang mempunyai rakan, penyokong dan penderma seluruh dunia yang dianggap ingin membantu sebuah parti yang berteraskan nasionalisme Melayu dan kepentingan Islam.

"Jadi kadang- kadang bila ada derma-derma yang wujud seperti ini, tidak mustahil. Seperti kita bantu orang-orang di Palestin atau Rohingya.

"Dalam konsep menderma, pandangan saya kalau ada orang ini melihat perjuangan Umno diteruskan serasi dengan apa yang dia nak dan ingin menderma ‎tanpa syarat saya kira itu perbuatan mulia," katanya.

Tempoh sebulan untuk dijawab

Sementara itu, ditanya mengapa kerajaan mengambil masa untuk menjelaskan perkara itu, beliau berkata, keadaan pola politik‎ sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadikan kenyataan kerajaan tidak akan dipercayai.

"Kita kena ingat untuk menuduh mungkin hanya memerlukan tiga minit buat satu kenyataan dalam TV, dalam blog, tapi kadang-kadang kerajaan terpaksa memakan masa tiga bulan untuk menyelesaikan satu isu terutamanya yang melibatkan penyiasatan.

"Sebab kerajaan kena bertanggungjawab, kita tidak boleh turun ke tahap pembangkang yang hanya bermain politik longkang, pada saya.

"Bila nak menuduh dia main tuduh sahaja, tetapi kita kerajaan‎ kita bertanggungjawab kalau kita jawab berdasarkan fakta dan fakta itu kadang-kadang membosankan. Satu membosankan, kadang-kadang memakan masa untuk diolah dari segi penyiasatan," katanya.

Tambah beliau, bila penyiasatan dibuat contohnya sukar untuk perdana menteri menjelaskan kedudukan wang 1MDB sebelum ini apabila tidak dipercayai.

"Kita pun tahu dulu jenuh perdana menteri menjelaskan kedudukan wang 1MDB, bila tidak dipercayai dan bila tidak dipercayai perdana menteri berkata, OK kita siasat.

"Bila disiasat ia memakan masa, begitu juga dalam soal ini bila tuduhan itu bermula kita buat keputusan biar disiasat.

"Jadi oleh kerana melibatkan perdana menteri dan jumlah yang besar serta melibatkan ekonomi Malaysia, saya kira agak sesuai dalam jangka masa sebulan," katanya.


0 comments:

Post a Comment